
Salam perkenalan kepada semua anak-anak cemerlang MARA. Semoga saudara/saudari semua berada di dalam kesihatan yang terbaik dan sentiasa di dalam rahmat serta kasih sayang ALLAH. Saya Rohizal bin Mohd Radzi, baru sahaja menggalas amanah menerajui Pejabat MARA London berkuatkuasa 28 Ogos 2018 yang lalu menggantikan En Ahmad Izlan. Dalam kesempatan ini juga saya bagi pihak MARA London, merakamkan jutaan terima kasih kepada En Ahmad Izlan atas sumbangan dan jasa bakti beliau sepanjang menjawat jawatan Pengarah MARA London. Sama-sama kita doakan agar ALLAH permudahkan segala urusan kerjaya dan peribadi beliau di mana sahaja beliau berkhidmat.
Saudara/saudari, InshaALLAH saya sedang dalam perancangan untuk bertemu dengan saudara-saudari dalam masa terdekat. Diharapkan saudara/saudari juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak MARA London agar kita dapat menjadi satu keluarga besar MARA yang cemerlang di United Kingdom ini. Saya difahamkan oleh mantan Pengarah, beliau mengambil inisiatif mewujudkan blog ini agar dapat menyampaikan maklumat berkaitan MARA London dan para pelajar tajaan secara maya sebelum berpeluang bertemu secara bersemuka. Semoga platform ini menjadi platform maya yang dapat menghubungkan kita semua selain daripada medium yang lain.
Saya berharap saudara/saudari yang menjadi harapan ibu bapa dan keluarga seterusnya negara agar dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan cemerlang dan terbaik. Seharusnya ibu bapa memberikan harapan yang tinggi agar saudara/saudari dapat menjadi anak yang cemerlang akademik dan sahsiah. Mohon jaga diri dan keselamatan serta kepada yang beragam ISLAM tidak melupakan tanggungjawab kita sebagai muslim sejati. InshaALLAH jika kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan ALLAH, ALLAH akan memelihara kita.
SALAM PERKENALAN
Rohizal Mohd Radzi